Monday, January 12, 2009

The 4th.Inter Universities Conference Kalimatan 2008

Alhamdulillah, saya berkesempatan ikut serta dalam Konferensi Universiti Se Borneo-Kaimantan Kali Ke 4 yang telah berlangsung 24-25 Jun yang lalu di Kota Samarinda, Kalimantan Timur. Kali ini rombongan dari Sarawak agak ramai juga yang terdiri daripada pensyarah UNIMAS dan UiTM. Ada juga dari UiTM Sabah, UTM Johor dan UM Kuala Lumpur.
Saya sempat membentang sebuah kertas kerja bertajuk "Memahami isu keciciran pelajar sekolah di Sarawak" hasil penelitian yang telah saya jalankan 2001-2002 dan 2003-2005. Kertas konsep dalam isu keciciran pelajar di Sarawak pernah saya, Dr. Haji Julaihi Hj Bujang (sekarang Pengarah Pendidikan Sarawak) dan Dr. Sluhi Lamat hasilkan pada 2001 sewaktu Bengkel Keciciran Pelajar anjuran SDI dan telah dibentangkan oleh Dr Hj Julaihi Hji Bujang.














Pengalaman membentang Kertas Kerja pada seminar antara bangsa amat menyeronokkan lebih-lebih lagi apabila banyak perkongsian idea berlaku di kalangan pembentang atau pemakalah (istilah di Indonesia yang mula diterima pakai di Malasyia.

Konferensi kali ini adalah lebih meriah daripada siri yang ketiga kerana terdapat 142 kertas kerja telah diterima untuk pembentangan. Gedung Bundar, Fakulti Kehutanan Universiti Mulwarman Samarinda menjadi tumpuan warga pendidik dan cendikiawan majoritinya dari pusat pengajian tinggi seluruh Borneo membincangkan tema "Transformasi Sosial Masyarakat Pedesaan dan Pesisir Borneo Kalimantan; isu-isunya" .

Jaringan kerja di kalangan pusat pengajian di Borneo semakin menggalakkan bermula dengan siri Dialog Borneo kerjasma Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Seminar Borneo Research Council. Sesungguhnya jaringan tersebut wajar diteruskan dan dipertingkatkan kerana ruang kerjasama demikian begitu terserlah di kalangan masyarakat berbudaya
serupa ini malah daripada komen dan pandangan-pandangan di kalangan cendikiawak yang ikut serta dalam konferensi dan dialog Borneo yang pernah saya hadiri, betapa mereka melihat para cendikiawan di Borneo ini wajar bergerak memperhebatkan lagi kegiatan seBorneo pada masa akan datang.

Bagi Sarawak, kebanggaan kita ialah kerana ketiga-tiga aktiviti tersebut adalah cetusan dari Kuching; maka sudah tibanya inisiatif serupa ditapilkan oleh Pontianak, Palangkaraya, Banjarmasin, Samarinda, Kota Kinabalu dan Bandar Seri Begawan- tujuh kota besar dan tidak kurang ilmuannya di pulau ketiga besarnya di dunia itu.

Daripada para sahabat di Jabatan Pendidikan Sarawak,
saya difahamkan bahawa ada usaha untuk mengadakan Dialog Pendidikan Borneo kali kedua nanti dengan penglibatan cendikiawan dari Kalimantan, khususnya Kalimantan Barat.

Syabas dan tahniah saya ucapkan sekiranya ia benar dan akan menjadi realiti. Pertemuan seumpama itu nanti akan memperkayakan lagi ruang pemikiran seBorneo para cendikiawan dan sudahpasti ketersebarannya akan jauh lebih meluas.
Salam.

Rakaman kenang-kenangan bersama Prof. Dr. Ir. Syafie serta mahasiswa Universitas Mulawarman.

NOTA:
Gambar 1, Prof. Abdul Halim Ali sedang membentangkan kertas kerja bertajuk:
"Transformasi Sosial Masyarakat Pedesaan dan Pesisir Borneo Kalimantan; isu-isunya" .
Gambar 2. Blogger sedang membentangkan kertas kerja "Memahami isu pelajar sekolah di Sarawak".
Gambar 3. Dari Kiri, Dr. Nelson (UNIMAS), Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Taha Arif dan blogger sedang mengikuti pembentangan Prof. Abdul Halim Ali.

No comments: