Sunday, September 21, 2008

Merenung istilah-istilah sosial di Malaysia

Apabila rujukan 'kemiskinan tegar' dirujuk kepada individu atau kumpulan manusia yang amat miskin hidupnya maka is mempunyai konotasi tersendiri dari perspektif sosial dan pembangunan. Pertama, individu atau kumpulan tersebut sudah mendapat perhatian pemerintah untuk dipertimbangkan suatu bentuk bantuan sama ada dalam bentul wang ataupun rumah. Istilah kemiskinan tegar telah digunapakai sebagai konsep yang mendokong "hard core poor" yang seringjuga digunakan. Sama ada yang Inggeris itu telah menerbitkan yang Melayu, adalah satu perkara berasingan. Namun dari sudut sosial, istilah tersebut adalah suatu pelabelan. Ini menimbulkan persoalan: relakah seseorang individu menerima label 'miskin tegar'?

Dalam konteks yang sama, saya teringat ketika mengajar kelas "kelas pemulihan khas" kira-kira 30 tahun yang lalu. Sebalik daripada menghadiri kursus pengajaran kelas pemulihan khas, sayta dengan penuh semangat sekali mempersiapkan sebuah bilik bersebelahan dengan bilik guru untuk dijadikan bilik 'Kelas Pemulihan Khas' dan membuat papan tanda kelas tersebut. Kira-kira enam bulan selepas itu saya telah dilawati dan dicerap seorang Pegawai dari Ibu Pejabat Pelajaran. Di akhir sesi pencerapan beliau dengan penuh hemah telah menegur papan tanda yang telah saya buat di pintu kelas tersebut.

Rasional yang beliau telah berikan amat terkesan pada pemahaman saya yang belum setahun jagung menjadi guru terlatih Maktab Perguruan. Saya telah tidak dapat membayangkan betapa perasaan ibu bapa yang melihat anaknya berada dalam kelas tersebut...! Selepas setahun mengajar 'kelas pemulihan khas' saya mendapati bilangan murid yang perlu dipulih semakin ramai (dari kelas Tahap 1: Darjah Satu Hingga Darjah Tiga) tetapi Alhamdulillah pada penghujung tahun berkenaan saya telah diluluskan perpindahan ke kampung asal dan sebelum jadual waktu sekolah baru digubar saya telah memohon untuk tidak mengajar kelas pemulihan khas.

Di negara kita, masih kedapatan istilah-istilah dalam kategori demikian dan tentunya mengundang reaksi, sama ada yang biasa sehinggalah yang sedikit keras: perundangan. Sehingga kini saya masih belum mendapati rasional istilah "pembangkang' digunakan sewenang-wenangnya dan dengan begitu tanpa batas sekali untuk merujuk individu atau kumpulan individu sama ada berparti ataupun tidak selain pihak pemerintah dan kerajaan. Di dewan rakyat dan Dewan Undangan Negeri, istilah Pembangkang (termasuklah wakil rakyat Bebas yang belum tentu betul-betul membangkang!) adalah istilah bagi kumpulan wakil rakyat yang tidak mewakili kumpulan pemerintah, dalam konteks kita di Malaysia ialah Barisan Nasional. Hatta, sesiapa sahaja yang di luar Barisan Nasional dan melahirkan idea bertentangan dengan Barisan Nasional dan dasar kerajaan semasa adalah juga pembangkang. Maka, di parlimen kita ada seorang ketua digelar "Ketua Pembangkang" yang pada perkiraan semantik kerjanya memang membangkang sahaja!

Istilah ' members from the other side of the house" yang digunakan oleh Parlimen British amat cocok pada pendengaran saya dan juga lebih halus. Di luar konteks palimen, istilah pembangkang atau parti pembangkang langsung tidak dipakai. Rujukan yang digunakan di Britain adalah terhadap parti yang diwakili ahli-ahli politik berkenaan. Contohnya, anggota daripada parti Buruh, parti Liberal, parti Conservative; dan 'government' adalah istilah umum kerana tidak kira parti mana yang memenangi majoriti dalam pilihanraya, pemerinatahan mesti ada.



Akan berterusankah pelabelan demikian di Malaysia?