Thursday, November 13, 2008

Wacana Ilmu 1 2008 bersama Tun Rahman

Tun Rahman tokoh yang tegar pemikiran dan minda mendidiknya. Daripada peristiwa zaman di bangku sekolah rendahnya sehingga menjadi menteri pelajaran Malaysia, beliau masih mampu menguliti detik dan peristiwa dengan baik. Dalam usia lebih 80 tahun Tun Rahman adalah mantan menteri pelajaran zaman Tunku Abdul Rahman yang layak dinobatkan pejuang dasar pelajaran kebangsaan. Beliaulah menteri pelajaran yang telah memperkenalkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan. Beliau juga bertanggung jawab menghapuskan peperiksaan dajah enam pada awal 1970-an.
Auditorium Pusat Maklumat Islam Jalan Ong Tiang Swee Kuching pada 12 Novmber 2008 telah menyaksikan suatu wacana ilmu yang amat berguna buat rakyat Sarawak dan golongan pendidik khususnya kerana kehadiran Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya'kub, mantan menteri pelajaran, mantan Ketua Menteri Sarawak dan TYT Sarawak yang keempat merupakan saat yang amat dinantikan oleh penganjur.
Dengan kerjasama Persatuan Perkembangan Profesionalisme Sarawak, PROFES dan Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak, KGBS; Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak telah merancangkan suatu wacana ilmu yang bertujuan membuka ruang berkongsi pandangan dan pendapat tentang isu-isu pendidikan dalam dan luar negara. Pemilihan Tun Rahman sebagai pemuka tirai siri Wacana Ilmunya, IAB Sarawak telah mengambil initiatif menampilkan tokoh dan pemimpin negara yang disegani kepimpinannya. Sebagai sebuah institut pengurusan pendidikan dan kepimpinan, IAB Sarawak berhasrat mengadakan 11 lagi wacan ilmu secara setempat di setiap bahagian negeri Sarawak pada 2009.
Interaksi Tun dengan audien masih bersahaja dan sesekali beliau bercakap dalam dialek hokkien dan Iban sambil disambut dengan gelak ketawa para peserta.

Tun Rahman semasa menerajui kepimpinan politik tanahair terkenal sebagi seorang yang petah berpidato. Ketika memerangi fahaman komunisme Sarawak, kepetahan Tun amat berkesan sehingga mendapat sambutan amat menyeluruh setiap kali melawat kawasan hitam di Bahagian Ketiga (Sibu) di Sarawak. Perjuangan menentang komunis di Sarawak telah membawa kejayaan besar sehingga termetrainya perjanjian Sri Aman pada 1973 di Simanggang (Sri Aman).