Monday, September 22, 2008

apabila ahli politik memperlekeh pegawai tinggi kerajaan..

Saya cukup terkejut apabila membaca halaman depan salah sebuah akhbar bebahasa Inggeris Sarawak mengungkap kenyataan seorang ahli parlimen menggesa Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak meletak jawatan kerana dituduh gagal menangani masalah disiplin pelajar di Bintulu. Persoalan yang timbul di kepala saya ialah: wajarkah seorang ahli politik berstatus Yang Berhormat mengeluarkan gesaan terbuka demikian tanpa mengambilkira sentimen dan emosi kemanusiaan seluruh kerabat bergelar guru di negeri Sarawak ini. Mungkin YB ini lupa bahawa penjawat awam yang digesanya meletak jawatan ini adalah seorang pemimpin pendidikan tertinggi negeri dan menaungi lebih 30,000 orang guru di Sarawak. Perbualan telefon saya dengan salah seorang pemimpin Kesatuan Guru di Sarawak memberitahu bahawa perkara yang cuba diungkit YB tersebut adalah perkara yang sudah diselesaikan di peringkat jabatan. Dan beliau juga memaklumkan bahawa pihak kesatuan guru akan membuat sidang akhbarnya secepat jam tiga hari yang sama.

Saya teringat YB yang sama pernah menggesa Ketua Polis Negera meletak jawatan dan ia telah menimbulkan polemik. Saya faham kebebasan bersuara (khususnya selepas 8 Mac 2008) sudah begiru ketara namun sebagai seoarang yang ada maruah dan faham maruah tersebut saya kira kenyataan YB berkenaan amat tidak kena pada tempatnya apa lagi beliau juga merupakan ketua penyokong kerajaan di Parlimen.

Secara kebetulan semalam saya baharu sahaja menjenamakan semula tag blog ini dengan "daripada pendidik kepada pemimpin" dengan hasrat mendidik para pemimpin supaya lebih menggunakan akal daripada nafsunya apabila mengeluarkan tutur kata khususnya terhadap manusia kelompok guru kerana di tangan kelompok manusia tersebut negara sandarkan harapan yang terlalu tinggi iaitu memartabatkan modal insan buat generasi muka Malaysia yang lebih dinamik. Sebagai seorang pendidik, saya amat terkilan atas kenyataan tersebut dan berharap guru-guru di negeri Sarawak tidak memandang ringan perkara tersebut. Pemimpin datang dan pergi, tetapi guru terus-menerus memberi khidmat bakti mereka sekalipun sudah bersara. Dan masyarakat perlu faham bahawa manusia guru akan kekal gelarannya sehingga akhir hayat.

Kepada para pemimpin politik yang belum terdidik dalam soal berbicara dan berbahasa tidak terlalu lewat untuk terus belajar kerana negara ini sudahpun menganjak pendidikan sepanjang hayat. Pemimpin yang dihormati masyarakat adalah pemimpin yang bukan sahaja berjasa mempertingkatkan taraf hidup masyarakat tetapi yang paling penting adalah pemimpin yang mempunyai bahasa yang bertamaddun.