Tuesday, September 16, 2008

Merdeka MALAYSIA? krisis tarikh.....!

Selepas memberi ulasan ringkas penghakiman Esei Kenegaraan 2007, saya telah diminta menjelaskan maksud kenyataan saya berhubung tarikh kemerdekaan Malaysia, oleh salah seorang Menteri Muda yang hadir pada Majlis Penyamapaian Hadiah Esei Kenegraan 2007 di salah sebuah hotel terkemuka di Bandaraya Kuching tahun lalu. Dalam ulasan tersebut saya telah menyentuh beberapa perkara tentang esei yang telah dihantar telah terpesong dari segi fakta sejarah kerana terdorong untuk tidak membuat rujukan ilmiah. Saya telah menegaskan bahawa panel penilai telah sepakat bersetuju bahawa esei kenegaraan wajar ada nilai ilmiah yang mampu diangkat sebagai bermutu. Adalah lebih wajar setiap penulis peraduan membezakan antara kebenaran dan fakta (sejarah dan ilmiah) sebagai mengimbau kerungsingan saya terhadap kecelaruan tarikh Merdeka negara Malaysia dan erti merdeka itu sendiri, selama ini. Persoalan yang perlu dianalisis ialah:
(i) Perlukah Malaysia mempunyai suatu tarikh Kemerdekaan?
(ii) Sekiranya perlu, kuasa manakah yang telah menjajah Malaysia (sebagai sebuah negara) sebelum dimerdekakan dan bilakah tarikh ia dimerdekakan?

Generasi muda (lahir pasca "merdeka') agak rabun sejarah khususnya tentang sejarah Negeri Sarawak dan negara yang disebut Malaysia ini.

Saya berkata demikian kerana dalam kebanyakan forum rasmi, orang mudah sahaja menerima sesuatu yang biasa mereka dengar dan menganggapnya sebagai fakta. Yang didengar itu mungkin suatu kebenaran, yakni yang dibenarkan secara politik dan diterima secara sosial sebagai benar. Untuk mencari fakta (yang hak) kita wajar membezakan sesuatu antara kebenaran (atas izin politik dan sosial) daripada fakta; atas pertimbangan bahawa ' not all that has been politically and socially accepted were facts" Tarikh 31 Ogos yang disambut secara besar-besaran di Malaysia sejak awal 1990-an hingga sekarang, sebagai suatu contoh paling sesuai digunakan dalam persoalan ini. Faktanya ialah 31 Ogos (1957) merupakan tarikh Tanah Melayu yang terdiri daripada sembilan buah negeri beraja Melayu dan dua wilayah jajahan British (berjumlah 11 kesemuanya) diisytiharkan merdeka oleh YTM Tunku Abdul Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaya pertama yang merdeka. (Sebelum itu YTM Tunku adalah Ketua Menteri. Gagasan yang dinamakan Malaysia itu adalah sebuah gagasan negara baru gabungan asalnya terdiri daripada Tanah Melayu (Malaya), Singapura, Sabah dan Sarawak dan telah diisytihar secara rasminya pada 16 September 1963. Ada juga yang beranggapan bahawa 16 September 1963 sebagai tarikh kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia; yang juga tidak betul kerana Sarawak telah merdeka daripada jajahan koloni British dua bulan (22 Julai 1963) sebelum perisytiharan Malaysia. Tarikh 22 Julai 1963 adalah tarikh Sarawak (negara merdeka Sarawak) mempunyai Ketua Pentadbir anak jati Sarawak dengan gelaran Ketua Menteri iaitu Datuk Stephen Kalong Ningkan.

Reaksi saya kepada pertanyaan YB Menteri Muda itu tadi ialah suatu soalan: Siapa yang telah menjajah Malaysia pada pengetahuan YB?

Saya amat bersetuju semangat Malaysia Day yang disambut setiap tahun sejak 1963 dulu diraikan bermula daripada tarikh 31 Ogos (jika perlu) kerana hanya 16 September mempunyai erti dan makna buat semua rakyat Malaysia yang jelas akan sejarah negaranya.