Tuesday, September 30, 2008

Eid Mubarak 1429

Kepada semua teman dan taulan saya mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya 1429, mohon ampun dan kemaafan sekiranya terdapat kesilapan sepanjang tahun ini dan semoga kita semua mendapat pahala daripada ibadah puasa yang telah kita tunaikan, Amin.

Sunday, September 28, 2008

TV Wilayah untuk Sarawak dan Sabah

Ura-ura Kerajaan mewujudkan TV Wilayah untuk Sarawak dan Sabah serta negeri-negeri lain di Malaysia adalah usaha baru dalam industri dan initiatif komunkasi massa di negara ini. Bagi Sarawak dan Sabah ia merupakan usaha mengembalikan hak kerena Sabah pernah mempunyai TV Sabah dan Sarawak pernah ada Radio Sarawak.

Kalau Britain dan Australia telah wujud buat sekian lama stesen Wilayah Penuh, saya tidak nampak alasan konkrit mengapa ia tidak diwujudkan di Malaysia 45 tahun yang lalu! Namun, better late than never dan kita bersyukur ini akan direalisasikan walaupun masih agak lama (saya tidak pasti mengapa menunggu sehingga 2011).

Syabas kepada Datuk Shaberi Chik atas usaha memberi lidah dan telinga kepada rakyat Sarawak dan Sabah untuk sama-sama menyertai arus Malasyia dalam bidang komunikasi yang selama ini dimonopoli Semenanjung Malaysia sahaja. Usaha ini juga sebetulnya akan mempertingkat dasar integrasi wilayah dan kaum yang semakin malap.

Monday, September 22, 2008

apabila ahli politik memperlekeh pegawai tinggi kerajaan..

Saya cukup terkejut apabila membaca halaman depan salah sebuah akhbar bebahasa Inggeris Sarawak mengungkap kenyataan seorang ahli parlimen menggesa Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak meletak jawatan kerana dituduh gagal menangani masalah disiplin pelajar di Bintulu. Persoalan yang timbul di kepala saya ialah: wajarkah seorang ahli politik berstatus Yang Berhormat mengeluarkan gesaan terbuka demikian tanpa mengambilkira sentimen dan emosi kemanusiaan seluruh kerabat bergelar guru di negeri Sarawak ini. Mungkin YB ini lupa bahawa penjawat awam yang digesanya meletak jawatan ini adalah seorang pemimpin pendidikan tertinggi negeri dan menaungi lebih 30,000 orang guru di Sarawak. Perbualan telefon saya dengan salah seorang pemimpin Kesatuan Guru di Sarawak memberitahu bahawa perkara yang cuba diungkit YB tersebut adalah perkara yang sudah diselesaikan di peringkat jabatan. Dan beliau juga memaklumkan bahawa pihak kesatuan guru akan membuat sidang akhbarnya secepat jam tiga hari yang sama.

Saya teringat YB yang sama pernah menggesa Ketua Polis Negera meletak jawatan dan ia telah menimbulkan polemik. Saya faham kebebasan bersuara (khususnya selepas 8 Mac 2008) sudah begiru ketara namun sebagai seoarang yang ada maruah dan faham maruah tersebut saya kira kenyataan YB berkenaan amat tidak kena pada tempatnya apa lagi beliau juga merupakan ketua penyokong kerajaan di Parlimen.

Secara kebetulan semalam saya baharu sahaja menjenamakan semula tag blog ini dengan "daripada pendidik kepada pemimpin" dengan hasrat mendidik para pemimpin supaya lebih menggunakan akal daripada nafsunya apabila mengeluarkan tutur kata khususnya terhadap manusia kelompok guru kerana di tangan kelompok manusia tersebut negara sandarkan harapan yang terlalu tinggi iaitu memartabatkan modal insan buat generasi muka Malaysia yang lebih dinamik. Sebagai seorang pendidik, saya amat terkilan atas kenyataan tersebut dan berharap guru-guru di negeri Sarawak tidak memandang ringan perkara tersebut. Pemimpin datang dan pergi, tetapi guru terus-menerus memberi khidmat bakti mereka sekalipun sudah bersara. Dan masyarakat perlu faham bahawa manusia guru akan kekal gelarannya sehingga akhir hayat.

Kepada para pemimpin politik yang belum terdidik dalam soal berbicara dan berbahasa tidak terlalu lewat untuk terus belajar kerana negara ini sudahpun menganjak pendidikan sepanjang hayat. Pemimpin yang dihormati masyarakat adalah pemimpin yang bukan sahaja berjasa mempertingkatkan taraf hidup masyarakat tetapi yang paling penting adalah pemimpin yang mempunyai bahasa yang bertamaddun.

Sunday, September 21, 2008

Merenung istilah-istilah sosial di Malaysia

Apabila rujukan 'kemiskinan tegar' dirujuk kepada individu atau kumpulan manusia yang amat miskin hidupnya maka is mempunyai konotasi tersendiri dari perspektif sosial dan pembangunan. Pertama, individu atau kumpulan tersebut sudah mendapat perhatian pemerintah untuk dipertimbangkan suatu bentuk bantuan sama ada dalam bentul wang ataupun rumah. Istilah kemiskinan tegar telah digunapakai sebagai konsep yang mendokong "hard core poor" yang seringjuga digunakan. Sama ada yang Inggeris itu telah menerbitkan yang Melayu, adalah satu perkara berasingan. Namun dari sudut sosial, istilah tersebut adalah suatu pelabelan. Ini menimbulkan persoalan: relakah seseorang individu menerima label 'miskin tegar'?

Dalam konteks yang sama, saya teringat ketika mengajar kelas "kelas pemulihan khas" kira-kira 30 tahun yang lalu. Sebalik daripada menghadiri kursus pengajaran kelas pemulihan khas, sayta dengan penuh semangat sekali mempersiapkan sebuah bilik bersebelahan dengan bilik guru untuk dijadikan bilik 'Kelas Pemulihan Khas' dan membuat papan tanda kelas tersebut. Kira-kira enam bulan selepas itu saya telah dilawati dan dicerap seorang Pegawai dari Ibu Pejabat Pelajaran. Di akhir sesi pencerapan beliau dengan penuh hemah telah menegur papan tanda yang telah saya buat di pintu kelas tersebut.

Rasional yang beliau telah berikan amat terkesan pada pemahaman saya yang belum setahun jagung menjadi guru terlatih Maktab Perguruan. Saya telah tidak dapat membayangkan betapa perasaan ibu bapa yang melihat anaknya berada dalam kelas tersebut...! Selepas setahun mengajar 'kelas pemulihan khas' saya mendapati bilangan murid yang perlu dipulih semakin ramai (dari kelas Tahap 1: Darjah Satu Hingga Darjah Tiga) tetapi Alhamdulillah pada penghujung tahun berkenaan saya telah diluluskan perpindahan ke kampung asal dan sebelum jadual waktu sekolah baru digubar saya telah memohon untuk tidak mengajar kelas pemulihan khas.

Di negara kita, masih kedapatan istilah-istilah dalam kategori demikian dan tentunya mengundang reaksi, sama ada yang biasa sehinggalah yang sedikit keras: perundangan. Sehingga kini saya masih belum mendapati rasional istilah "pembangkang' digunakan sewenang-wenangnya dan dengan begitu tanpa batas sekali untuk merujuk individu atau kumpulan individu sama ada berparti ataupun tidak selain pihak pemerintah dan kerajaan. Di dewan rakyat dan Dewan Undangan Negeri, istilah Pembangkang (termasuklah wakil rakyat Bebas yang belum tentu betul-betul membangkang!) adalah istilah bagi kumpulan wakil rakyat yang tidak mewakili kumpulan pemerintah, dalam konteks kita di Malaysia ialah Barisan Nasional. Hatta, sesiapa sahaja yang di luar Barisan Nasional dan melahirkan idea bertentangan dengan Barisan Nasional dan dasar kerajaan semasa adalah juga pembangkang. Maka, di parlimen kita ada seorang ketua digelar "Ketua Pembangkang" yang pada perkiraan semantik kerjanya memang membangkang sahaja!

Istilah ' members from the other side of the house" yang digunakan oleh Parlimen British amat cocok pada pendengaran saya dan juga lebih halus. Di luar konteks palimen, istilah pembangkang atau parti pembangkang langsung tidak dipakai. Rujukan yang digunakan di Britain adalah terhadap parti yang diwakili ahli-ahli politik berkenaan. Contohnya, anggota daripada parti Buruh, parti Liberal, parti Conservative; dan 'government' adalah istilah umum kerana tidak kira parti mana yang memenangi majoriti dalam pilihanraya, pemerinatahan mesti ada.



Akan berterusankah pelabelan demikian di Malaysia?

Tuesday, September 16, 2008

Merdeka MALAYSIA? krisis tarikh.....!

Selepas memberi ulasan ringkas penghakiman Esei Kenegaraan 2007, saya telah diminta menjelaskan maksud kenyataan saya berhubung tarikh kemerdekaan Malaysia, oleh salah seorang Menteri Muda yang hadir pada Majlis Penyamapaian Hadiah Esei Kenegraan 2007 di salah sebuah hotel terkemuka di Bandaraya Kuching tahun lalu. Dalam ulasan tersebut saya telah menyentuh beberapa perkara tentang esei yang telah dihantar telah terpesong dari segi fakta sejarah kerana terdorong untuk tidak membuat rujukan ilmiah. Saya telah menegaskan bahawa panel penilai telah sepakat bersetuju bahawa esei kenegaraan wajar ada nilai ilmiah yang mampu diangkat sebagai bermutu. Adalah lebih wajar setiap penulis peraduan membezakan antara kebenaran dan fakta (sejarah dan ilmiah) sebagai mengimbau kerungsingan saya terhadap kecelaruan tarikh Merdeka negara Malaysia dan erti merdeka itu sendiri, selama ini. Persoalan yang perlu dianalisis ialah:
(i) Perlukah Malaysia mempunyai suatu tarikh Kemerdekaan?
(ii) Sekiranya perlu, kuasa manakah yang telah menjajah Malaysia (sebagai sebuah negara) sebelum dimerdekakan dan bilakah tarikh ia dimerdekakan?

Generasi muda (lahir pasca "merdeka') agak rabun sejarah khususnya tentang sejarah Negeri Sarawak dan negara yang disebut Malaysia ini.

Saya berkata demikian kerana dalam kebanyakan forum rasmi, orang mudah sahaja menerima sesuatu yang biasa mereka dengar dan menganggapnya sebagai fakta. Yang didengar itu mungkin suatu kebenaran, yakni yang dibenarkan secara politik dan diterima secara sosial sebagai benar. Untuk mencari fakta (yang hak) kita wajar membezakan sesuatu antara kebenaran (atas izin politik dan sosial) daripada fakta; atas pertimbangan bahawa ' not all that has been politically and socially accepted were facts" Tarikh 31 Ogos yang disambut secara besar-besaran di Malaysia sejak awal 1990-an hingga sekarang, sebagai suatu contoh paling sesuai digunakan dalam persoalan ini. Faktanya ialah 31 Ogos (1957) merupakan tarikh Tanah Melayu yang terdiri daripada sembilan buah negeri beraja Melayu dan dua wilayah jajahan British (berjumlah 11 kesemuanya) diisytiharkan merdeka oleh YTM Tunku Abdul Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaya pertama yang merdeka. (Sebelum itu YTM Tunku adalah Ketua Menteri. Gagasan yang dinamakan Malaysia itu adalah sebuah gagasan negara baru gabungan asalnya terdiri daripada Tanah Melayu (Malaya), Singapura, Sabah dan Sarawak dan telah diisytihar secara rasminya pada 16 September 1963. Ada juga yang beranggapan bahawa 16 September 1963 sebagai tarikh kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia; yang juga tidak betul kerana Sarawak telah merdeka daripada jajahan koloni British dua bulan (22 Julai 1963) sebelum perisytiharan Malaysia. Tarikh 22 Julai 1963 adalah tarikh Sarawak (negara merdeka Sarawak) mempunyai Ketua Pentadbir anak jati Sarawak dengan gelaran Ketua Menteri iaitu Datuk Stephen Kalong Ningkan.

Reaksi saya kepada pertanyaan YB Menteri Muda itu tadi ialah suatu soalan: Siapa yang telah menjajah Malaysia pada pengetahuan YB?

Saya amat bersetuju semangat Malaysia Day yang disambut setiap tahun sejak 1963 dulu diraikan bermula daripada tarikh 31 Ogos (jika perlu) kerana hanya 16 September mempunyai erti dan makna buat semua rakyat Malaysia yang jelas akan sejarah negaranya.