Saturday, August 22, 2009

Skim Seragam Pengetua Guru Besar 2012 .. hikayat sistem kita yang ketinggalan..

Pada sesi refleksi di IAB saya telah menyuarakan akan perlunya IAB megorak langkah lebih proaktif khususnya apabila merancang kursus-kursus untuk pemimpin sekolah. Pada tahun ini lebih 400 orang Guru Besar seluruh negara telah dinaikkan pangkat ke kategori DG44 (mungkin kuota telah ditambah apabila blog ini saya kemaskini). Soalan yang saya kemukakan ialah: Apakah akan terjadi apabila jumlah tersebut melewati tiga tahun yang pastinya mereka juga layak dipertimbangkan ke kategori DG48? Seterusnya, saya memperingatkan juga akan bilangan yang berumur kurang dari 45 tahun dan telah berada di kategori DG44 tahun 2009; terdapat dalam kalangan Guru Besar (yang saya kenali) telah mendapat ijazah Sarjana dan ada yang telah berusaha meneruskan pengajian secara PJJ ijazah kedoktoran. Saya amat kagum usaha gigih guru besar ini kerana mereka merupakan antara pemimpin sekolah rendah yang bakal mencipta sejarah tersendiri sekiranya mereka berjaya memperoleh ijazah kedoktoran dan kekal sebagai guru besar. Saya memerhati, sistem yang kita amalkan, sepanjang yang saya amati di kementerian amat terkebelakang dan tidak mengunjurkan secara telus akan pelaksanaan skim seragam ini. Di IAB, apabila semua pihak peka akan realiti ini, semua kursus perlu tiga perkara asas sebagai program latihan staf kementerian pelajaran Malaysia:

i. Jenama baru
ii. Isi baru
iii. Tenaga pengajar baru (pastinya antara DG48-DG54)

kerana guru besar dan pengetua menjelang 2012 adalah terdiri daripada mereka yang berada dalam kategori DG48 hingga DG54. Pengetua JUSA C juga akan bertembah.

Daripada pemerhatian saya juga, khususnya melalui lawatan konsultasi Memperkasa Sekolah Kebangsaan dan forum-forum pendidikan jemputan, guru besar kita semakin inovatif dan berinitiatif tinggi untuk memperbaiki ilmu kepengurusan dan kepimpinan. Sistem kita mesti berganjak terus supaya tidak ketinggalan oleh initiatif guru-guru. Di Sarawak pada 2007 seramai 35 orang guru sekolah rendah sedang mengikuti ijazah lanjutan kedoktoran secara PJJ. Saya yakin bilangan di seluruh negara semakin bertambah. Adakah skim perkhidmatan menanggapi initiatif guru-guru ini? Saya teringat pesan Menteri Pelajaran 1985, ketiga itu saya Pengetua Memangku Kategori C1 Tingkatan Khas (elaun memangku saya hanya di bayar 17 tahun kemudian setelah tamat pengajian kedoktoran) semua guru akan diberi ganjaran khas apabila mereka sentiasa memperkemaskan diri mereka dengan ilmu yang lebih tinggi. Guru menurut beliau adalah tonggak kepada pembangunan negara dan kementerian memperakui sumbangan dan peranan mereka. Apabila beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima, beliau pernah menyebut bahawa dua kategori guru (siswazah dan bukan siswazah) kini adalah atas usaha dan cadangan beliau ketika menjadi Menteri Pelajaran; namun saya melihatnya singkat satu mata untuk saya memberi kredit penuh: penempatan PTD di jabatan pelajaran negeri; yang saya anggap sebagai mencabar maruah guru atas perkiraan guru tidak pandai mengurus kewangan. Fitnah tersebut dilemparkan oleh kakitangan bukan guru (bukan DG) di jabatan-jabatan yang rabun akan pembangunan pendidikan dan pembangun negara serta mereka yang gagal melihat gambar besar dari persepektif manusia berakal dan berakhlak. Bukankah guru yang menghasilkan para kerani, pegawai akaun dan pekerja sekolah dan jabatan pelajaran setiap negeri? Mengapa guru-guru yang berkelulusan perakuanan tidak ditempatkan di pejabat? Ini yang saya istililahkan sistem yang ketinggalan oleh initiatif guru. Kini ada golongan (bukan DG) yang banyak mencadangkan beberapa perkara yang baik untuk guru sedangkan idea, pandangan daripada guru sendiri tidak diambil perhatian serius.

Pada suatu perbincangan yang turut dihadiri pegawai PTD, saya memberi reaksi dengan mengatakan betapa sistem kuota guru yang diamalkan negara kita adalah lapok, dan ketinggalan zaman! Semua yang hadir terbeliak dan merasa terancan dengan penyataan saya. Lalu saya mencadangkan: Kita mesti mengubah sistem kuota ini (sekurang-kurangnya khusus untuk jawatan guru) iaitu sekolah mesti mendapat jawatan guru berdasarkan sistem pengajaran berasaskan kemahiran (yang hendak diajar: saya pernah menulis tentang ini dalam isu berlainan). Contohnya: Bahasa Melayu untuk tahap satu (Tahun 1-3) perlu sekurang-kurang nya emapt kemahiran yang perlu diajar, iaitu: Menulis (termasuk tulisan dan penulisan), Membaca, Kefahaman dan Lisan. Maka ini menuntut empat orang guru, iaitu Guru BM Menulis, Guru BM Bacaan, Guru BM Kefahaman dan Guru BM Lisan.

Salah seorang yang mendengar cadangan saya itu menyampuk (menyampuk sekadar hendak menyampuk) : itu terlalu luxury ! Lalu saya berkata: So what? What wrong being luxurious in a system that everybody has a share in it? Why can't we have luxury in teachers' quota when we have luxurious school building (costing between 25-60million!). Yang lain, dan tak mengerti penyataan saya terdiam ada di kalangan guru besar dan pengetua mengangguk tetapi tidak bersuara menyokong. Seorang pemimpin kesatuan guru, saya pasti beliau adalah guru besar berdiri dan berkata: Syabas, dr. kita akan bawa cadangan ini ke majlis pemuafakatan nanti (yang saya tidak dengar lagi perkembangannya).

Pada bulan penuh barakah ini marilah kita sama-sama bermunajat dan memohon daripada Allah SWT semoga para pemimpin tertinggi pendidikan mengambil ikhtibar akan pandangan guru-guru serta menjelmakannya dalam realiti yang dinantikan oleh semua guru. Tahun 2009 adalah tahun keramat bagi semua guru Malaysia kerana, akhirnya pemerintah memperaku kita sebagai Pembina Negara Bangsa. Wallahualam Bissawab.