Thursday, July 8, 2010

Guru dan kuasa pemerintah

Agak lama blog ini terbiar kerana sembang ligat di muka buku yang lebih interaktif. Blog atau 'facebook', bicara guru adalah untuk melontar pandangan serta buah fikiran.

Guru menghadapi cabaran dan tanggungjawab semakin mencabar. Guru-guru, di mana pun mereka berkhidmat; institusi kerajaan atau swasta, peranan mereka tetap bermatlamatkan mendidik manusia. Manusia yang mereka didik mesti mendapat didikan yang sewajarnya. Pegangan guru satu: ilmu berguna selaras dengan tuntutan akidah, mengembalikan manusia kepada Penciptanya di samping berbakti kepada bangsanya.

Apabila menganalisis tugas, tanggungjawab serta peranan guru, kita mendapati suatu putaran yang sangat menarik dan dapat disimpulkan bahawa guru itu berada di suatu posisi yang menggerak manusia seawal yang mungkin sehinggalah ke suatu peringkat manusia yang mereka didik tadi menjadi "tuan" kepadanya atas nama "kuasa sang pemerintah". Begitulah analisis saya terhadap cabaran yang dihadapi guru. Analogi lain yang mudah ialah umpama seorang pemelihara binatang-binatang seperti harimau, singa, ular, buaya sejak kecil sehingga haiwan berkenaan besar dan perkasa. Dalam analogi ini, haiwan tadi mungkin jauh berbeza dari manusia kerana sifat semulajadinya. Tetapi yang hampir sama ialah bagaimana seorang pembela atau pemelihara dan guru perlu-perlu berhati-hati dalam setiap gerak dan langkahnya apabila berhadapan dengan haiwan peliharaan dan murid-muridnya. Memelihara kuching tidak berisisko setinggi memelihara sang harimau. Murid yang baik sedari sekolah diharap menjadi manusia baik apabila dewasa. Usman Awang menulis puisi "guru oh guru" dengan menggunakan kata-kata yang cukup mengesankan ; antaranya,

"....jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa sejarahnya dimulakan seorang guru biasa dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca...."

Apabila bercakap tentang guru-guru di negara kita, banyak perkara yang dahulunya sinonim dengan perjuangan guru mungkin dikesampingkan. Dada-dada akhbar sejak sekian lama telah mula berani mendedahkan dan mengaifkan guru-guru dengan berita-berita yang cukup menghangatkan akhbar itu: satu kemahiran yang guru tidak pernah mengajarkan kepada penulis berkenaan semasa di bangku sekolah dahulu!

Yang suka mengkritik guru pula terus-terusan menghentam guru di mana sahaja ada forum yang dilihatnya sebagai berkesan. Ibu bapa semakin hilang hormat kepada guru kerana perbuatan segelintir guru dan kerana berita yang mereka baca dan dengar. Murid-murid semakin ramai yang tidak kenal dan tahu nama guru-guru mereka. Di suatu dudut pula guru-guru terus merasa tekanan dan cabaran ini dengan tindak-tanduk yang berbagai-bagai.

Ada berapa jenis gurukah di negara ini? Jenis guru manakah yang disukai masyarakat? dan guru jenis yang manakah tidak disukai masyarakat? Saya sering melontarkan pertanyaan kepada gfuru-guru besar dan pemimpin sekolah dalam kesempatan kuliah yang saya berikan: "Seandainya anda diberi peluang memilih sama ada mahu menjadi guru besar sekolah swasta atau kekal dalam status sekarang sebagai guru besar sekolah kerajaan, apakah pilihan anda?" Selalunya respon mereka adalah jenis respon yang selamat: tengok keadaan.

Memang guru-guru adalah golongan yang sentiasa berfikir sebelum bertindak. Ini sikap terpuji sekali.

Apabila merefleksi diri, saya teringat hari pertama menjadi guru sementara (sementara menunggu keputusan MCE 1975). Rasa seronok, bangga dan cukup terhormat kerana dipanggil "cikgu" (setiap hari tidak kurang 40-80 kali panggilan/sebutan itu hinggap di gendang telinga). Ganjaran yang diterima cukup lumayan (pada masa itu) iaitu: 265.00 ringgit sebulan. Gaji pokok 205.00 ringgit pada kategori B05 (lulusan tingkatan 3, tidak terlatih).

Hari ini ganjaran guru cukup banyak. Habuan atas dasar perkhidmatan cemerlang juga banyak. Faedah serta keistimewaan lain juga cukup banyak. Ini saya namakan sebagai kemakmuran yang juga menurut analisis saya tadi adalah disebabkan oleh hasil kerja guru. Manusia semakin panda dan bijh negaraak disebabkan dedikasi guru mengajar. Bimbingan guru memakmurkan sebuah negara sebetulnya. Hasil tangan guru telah menjadikan pemimpin semasa upaya memimpin dengan bijaksana.