Wednesday, November 24, 2010

2011.. debaran dan harapan dalam pendidikan tanahair


2011 menjelang tiba. 2010 telah mewarnai banyak aspek dan pembangunan pendidikan negara. keputusan UPSR telahpun diumumkan. Tiga keputusan yang dinanti-nanti ialah PMR SPM dan STPM. Sekolah rendah akan dinafasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang sekarang sedang disebar di setiap daerah seluruh negara.

Alhamdulillah Persidangan PPD seluruh negara (22-25 November 2010, IAB Genting Highlands) telah banyak mengupas isu-isu pengurusan pendidikan negara. Semoga 2011 pengrusan pendidikan akan lebih baik dari 2010 khususnya dari segi peruntukan kewangan kepada sekolah-sekolah. Isu besar 2010 melibatkan peruntukan kewangan sekolah-sekolah amat menjejas perjalanan kegiatan pendidikan di sekolah dan daerah. Sekolah - sekolah tidak dapat menghantar penyertaan dalam kegiatan kokuriklum.

Pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang baru telah diumumkan oleh YAB TPM dan Menteri Pelajaran. Yang Hormat (gelaran Pahang) Dato' Abdul Ghafar Mahmud, mantan Pengarah IAB dilantik sebagai KPPM yang baru menggantikan TS Haji Alimuddin. Dato' Ghafar merupakan seorang pemimpin pendidikan yang amat teliti dan detail dari segi membuat keputusan. Di IAB kehadiran beliau, walaupun singkat telah berjaya menggarakkan banyak aktiviti serta perubahan. Syabas dan tahniah Dato'.






Thursday, July 8, 2010

Guru dan kuasa pemerintah

Agak lama blog ini terbiar kerana sembang ligat di muka buku yang lebih interaktif. Blog atau 'facebook', bicara guru adalah untuk melontar pandangan serta buah fikiran.

Guru menghadapi cabaran dan tanggungjawab semakin mencabar. Guru-guru, di mana pun mereka berkhidmat; institusi kerajaan atau swasta, peranan mereka tetap bermatlamatkan mendidik manusia. Manusia yang mereka didik mesti mendapat didikan yang sewajarnya. Pegangan guru satu: ilmu berguna selaras dengan tuntutan akidah, mengembalikan manusia kepada Penciptanya di samping berbakti kepada bangsanya.

Apabila menganalisis tugas, tanggungjawab serta peranan guru, kita mendapati suatu putaran yang sangat menarik dan dapat disimpulkan bahawa guru itu berada di suatu posisi yang menggerak manusia seawal yang mungkin sehinggalah ke suatu peringkat manusia yang mereka didik tadi menjadi "tuan" kepadanya atas nama "kuasa sang pemerintah". Begitulah analisis saya terhadap cabaran yang dihadapi guru. Analogi lain yang mudah ialah umpama seorang pemelihara binatang-binatang seperti harimau, singa, ular, buaya sejak kecil sehingga haiwan berkenaan besar dan perkasa. Dalam analogi ini, haiwan tadi mungkin jauh berbeza dari manusia kerana sifat semulajadinya. Tetapi yang hampir sama ialah bagaimana seorang pembela atau pemelihara dan guru perlu-perlu berhati-hati dalam setiap gerak dan langkahnya apabila berhadapan dengan haiwan peliharaan dan murid-muridnya. Memelihara kuching tidak berisisko setinggi memelihara sang harimau. Murid yang baik sedari sekolah diharap menjadi manusia baik apabila dewasa. Usman Awang menulis puisi "guru oh guru" dengan menggunakan kata-kata yang cukup mengesankan ; antaranya,

"....jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa sejarahnya dimulakan seorang guru biasa dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca...."

Apabila bercakap tentang guru-guru di negara kita, banyak perkara yang dahulunya sinonim dengan perjuangan guru mungkin dikesampingkan. Dada-dada akhbar sejak sekian lama telah mula berani mendedahkan dan mengaifkan guru-guru dengan berita-berita yang cukup menghangatkan akhbar itu: satu kemahiran yang guru tidak pernah mengajarkan kepada penulis berkenaan semasa di bangku sekolah dahulu!

Yang suka mengkritik guru pula terus-terusan menghentam guru di mana sahaja ada forum yang dilihatnya sebagai berkesan. Ibu bapa semakin hilang hormat kepada guru kerana perbuatan segelintir guru dan kerana berita yang mereka baca dan dengar. Murid-murid semakin ramai yang tidak kenal dan tahu nama guru-guru mereka. Di suatu dudut pula guru-guru terus merasa tekanan dan cabaran ini dengan tindak-tanduk yang berbagai-bagai.

Ada berapa jenis gurukah di negara ini? Jenis guru manakah yang disukai masyarakat? dan guru jenis yang manakah tidak disukai masyarakat? Saya sering melontarkan pertanyaan kepada gfuru-guru besar dan pemimpin sekolah dalam kesempatan kuliah yang saya berikan: "Seandainya anda diberi peluang memilih sama ada mahu menjadi guru besar sekolah swasta atau kekal dalam status sekarang sebagai guru besar sekolah kerajaan, apakah pilihan anda?" Selalunya respon mereka adalah jenis respon yang selamat: tengok keadaan.

Memang guru-guru adalah golongan yang sentiasa berfikir sebelum bertindak. Ini sikap terpuji sekali.

Apabila merefleksi diri, saya teringat hari pertama menjadi guru sementara (sementara menunggu keputusan MCE 1975). Rasa seronok, bangga dan cukup terhormat kerana dipanggil "cikgu" (setiap hari tidak kurang 40-80 kali panggilan/sebutan itu hinggap di gendang telinga). Ganjaran yang diterima cukup lumayan (pada masa itu) iaitu: 265.00 ringgit sebulan. Gaji pokok 205.00 ringgit pada kategori B05 (lulusan tingkatan 3, tidak terlatih).

Hari ini ganjaran guru cukup banyak. Habuan atas dasar perkhidmatan cemerlang juga banyak. Faedah serta keistimewaan lain juga cukup banyak. Ini saya namakan sebagai kemakmuran yang juga menurut analisis saya tadi adalah disebabkan oleh hasil kerja guru. Manusia semakin panda dan bijh negaraak disebabkan dedikasi guru mengajar. Bimbingan guru memakmurkan sebuah negara sebetulnya. Hasil tangan guru telah menjadikan pemimpin semasa upaya memimpin dengan bijaksana.









Wednesday, February 17, 2010

Berfikir tentang ahli fikir

Berfikir tentang ahli fikir

Generasi alaf baru berkecenderungan melihat lebih dari membaca. Ini kerana abad ke-21 ialah abad perubahan drastik dan dahsyat dalam teknologi media dan komunikasi. Berbanding dengan tahun 70-an di mana komputer baru sahaja meninggalkan zaman kerangka utama (main frame), fokus utama aktiviti bersekolah ialah membaca. Muird-murid pada ketika itu bacaannya diperhebatkan. Guru-guru bertungkus-lumus mencari upaya mengajar bacaan, mencari bahan sesuai dan menambahbaik lagi kaedah bacaan supaya lebih berkesan.

Persoalan hari ini ialah: Adakah murid-murid sekolah hebat bacaan (serta telaah) mereka? Aapakah jenis buku yang dibaca?

Kekeliruan yang timbul hari ini adalah tentang bahan

Sunday, January 31, 2010

Gelaran, singakatan dan nilai pada nama

Kita sering mendapat kad perniagaan (Business Card) daripada seseorang. Baru-baru ini saya menerima kad daripada seseorang yang baru dikenali ketika sedang minum bersama dua rakan lain. Orang ini mengenali salah seorang rakan saya (seorang peguam/pensyarah di sebuah Kolej Swasta). Kami bertiga kemudian meneliti kad tersebut sebaik sahaja orang ini beredar. Kenalan saya yang yang mengenali orang ini memulakan cerita dengan memberitahu kami bahawa orang ini merupakan kenalan lama dan mereka tidak tidak berjuma sejak lebih 20 tahun sehinggalah pagi itu. Beliau pernah menjadi seorang anggota keselamatan. Pada kad yang telah diberikan kepada kami tertera gelaran, kelulusan dan jawatan yang disandang serta cukup menakjubkan kami bertiga. Maka mai membuat sedikit analisis urutan masa dan usia orang itu.

Saya telah menceritakan kepada dua orang rakan saya itu pengalaman saya berkaitan dengan kad perniagaan (saya lebih suka merujuknya sebagai kad nama sahaja kerana tidak semua yang mempunyai "Business Card" itu ada business walaupun nampak busy!). Ada kalanya saya menerima kad nama daripada orang yang sama sebayak tiga kali dengan "nature of business" yang berbeza dalam tempoh kurang setahun! Ada juga yang memberi dua kad serentak menunjukkan dia ada dua "business" berlainan/berbeza pada masa yang sama.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, saya gemar membuat sedikit "penyelidikan" terhadap setiap kad yang saya terima. Yang saya ingin kepastian ialah: "the nature of Business", "abjad-abjad hiasan" yang mengikuti namanya dan butiran lain yang mungkin saya ingin maklumat lebih lanjut.

Kesimpulan yang dapat saya kongsi dengan dua rakan saya ini ialah ramai yang mempunyai abjad yang meragukan serta gelaran yang diperoleh secara yang meragukan. Contoh: Gelaran Datuk daripada sumber yang tidak diikhtiraf dan upaya secara "{BDP} beli-dan-pakai" (istilah seorang teman saya), abdjad singkatan kelulusan yang palsu dan dari institusi pengajian yang sama ada tidak wujud, langsung, sudah tidak wujud lagi atau ala "{BTP} beli-terus-pakai").

Ada yang terlalu ghairah dengan singkatan kelulusan ilmiah ini (pada perkiraan saya sekolahnya setakat peringkat menengah) amat jahil tentang bagaimana kelulusan ini dilalui dan diperolehi secara benar. Umpamanya, kalau di universiti tempatan masa untuk Ijazah asas ialah antara 3-4 tahun secara sepenuh masa (selain MBBS dan BDS); Sarjana pula ialah 18-24 bulan dan kedoktoran 3-5 tahun. Kalau tercatat pada kad itu: B.A. (Hons.), (UM), 1999, M.Sc (UPM) 2001 dan Ph.D (Chicago State) 2003 maka orang ini memang hebat, lebih-lebih lagi bidang yang dinyatakan ialah Political Science! Malah saya pernah menyimpan satu kad yang menunjukkan begini: BSc, B.Ed. MEd (1988-1989) serta tercatatlah nama universitinya (saya tidak dedah di sini).

Pada perkiraan kami bertiga, ada manusia apabila dia inginkan sesuatu dia tertipu oleh usaha ingin menipunya itu! Maksud kesimpulan ini ialah: kalau seseorang ingin menipu, dia mesti bijak dan kelihatan kebijaksanaan dalam hasil tipuannya itu, yakni masuk akal (walaupun menipu!). Contoh yang kita bincang di atas adalah contoh menunjukkan betapa seseorang apabila ingin menipu (orang lain) dia sendiri kena tipu oleh dirinya terlebih dahulu!


Rakan saya yang peguam/pensyarah tadi memberitahu bahawa di negara kita belum ada undang-undang mengawal penggunaan kad nama ini. Maksudnya, dibolehkan kerana ia adalah "perhiasan" diri individu yang saya kira sama juga seperti baju, celana, wangian dan sebagainya, sepanjang termampu oleh sipemakai. Kalau dalam syariat Islam bab pakaian ini ada tegahan supaya tidak menjolok mata (tafsiran Melayu), yakni di samping menutup aurat.

Saya memberitahu dua orang rakan ini: Gelaran dan singkatan pada kad itu amat menjolok mata saya!

Tuesday, January 19, 2010

Perkongsian kemahiran keibubapaan..

10 Oktober 2009 yang lalu saya berkesempatan bercakap kepada kira-kira 300 orang ibu dan bapa SKM Datuk Patinggi Kedit Betong atas jemputan yang agak sekian waktu tertunda kerana jadual yang agak ketat pada penghujung tahun. Dr. Lambat telah merasionalkan jemputan beliau terhadap saya adalah untuk berkongsi pengalaman saya sebagai guru (yang agak tua) yang telah meniti arus serta perjalanan kerjaya bermula dari sekolah rendah.

Sebetulnya ibu bapa di daerah luar bandar serta pedalaman di mana pun di negeri Sarawak ini telah terbina dalam sanubari mereka ingin memajukan pendidikan anak-anak. Begitu juga di Daerah Betong. Mereka gigih segigih ibu bapa di Bakong Miri (yang saya temui sekitar Mei 2008 semasa program kembara pendidikan bersama yayasan Sarawak). Bagi ibu bapa yang telah terdedah dengan banyak program pemerintah sama ada yang berbentuk kesedaran, pendedahan dasar baru mahupun pemantapan program pendidikan sedia ada, satu ruang yang saya kira amat wajar mereka manfaatkan ialah kemahiran berterusan memandu pelajaran anak-anak. Itu hanya mereka perolehi daripada guru-guru yang mengajar anak-anak mereke di sekolah berkenaan. mereka perlu sering bertemu guru. Guru perlu ada program bersama ibu dan bapa secara berjadual.

Dalam kesempatan perkongsian seperti di SMK Datuk Patinggi Kedit, saya tertarik dengan usaha gigih sekolah dan persatuan ibu bapa yang mahukan titik perefahaman guru-ibu-bapa dimantapkan ke tahap lebih cemerlang dan seterusnya menjadi tradisi sekolah demi pelajaran anak-anak.

Seperti selalunya, saya akan memberi tahu ibu bapa bahawa saya bukan contoh bapa yang terbaik dengan sekadar tioga orang cahaya mata (disambut dengan ketawa oleh ibu bapa) dan dalam kalangan ibu bapa yang hadir khususnya yang telah sejak anak mereka ber sekolah di sekolah rendah dan tinggal di asrama yang tidak sepertinya itu, mereka itulah contoh terbaik kerana keberanian mereka berpisah dengan anak-anak pada usia anak mereka yang begitu muda. Merekalah contoh dan sebahagian daripada lebih10,000 keluarga yang mempunyai anak yang tinggal di asrama sekolah rendah di seluruh negeri Sarawak ini. Syabas dan tahniah kepada ibu bapa ini dan semoga anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran di sekolah.