Friday, April 4, 2008

Pengurusan Pendidikan

Merenung kembali Pengurusan Pendidikan
Sesebuah entiti pengurusan wajar dicirikan urusan sebenarnya. Dalam konteks pengurusan pendidikan di Jabatan Pelajaran Negeri/Bahagian/Daerah, terdapat satu sektor/unit yang khusus mengurus perkhidmatan guru iaitu Sektor Pengurusan Perkhidmatan Pendidikan yang merangkumi pembangunan pendidikan, pengurusan kewangan pendidikan, dan sub-sub bidang yang berkaitan dengan perkhidmatan guru. Selepas terlaksananya penstrukturan semua kementerian pendidikan, jabatan-jabatan pendidikan negeri telah distruktur semua dengan menyediakan beberapa jawatan (pengurusan) untuk Pegawai Tadbir dan Diplomatik atau PTD. Sektor yang diketuai PTD ialah Sektor Pengurusan dan Perkhidmatan Pendidikan yang kini dikenali sebagai Sektor Khidamat Pengurusan dan Pembangunan (SKPP).

Apakah rasional sebenar PTD ditempatkan di setiap JPN (kemungkinan setiap PPD/PPG pada masa akan datang) masih menjadi tanda tanya. Sektor yang selama ini diketuai seorang DG tidak menghadapi sebarang masalah kecuali ada tuduhan mengatakan aspek pengurusan kewangan adalah lemah. Sekiranya ini menjadi beban bukti untuk mengambil alih jawatan DG bagi menempatan PTD, saya rasa kita perlu merenung kembali takrif sebenar pengurusan pendidikan dan erti sebenar kewujudan jabatan pendidikan di setiap negeri, yang saya yakin jabatan paling ramai kakitangan di setiap negeri di Malaysia - yakni bergantung jumlah guru di setiap negeri.


Setelah hampir setahun diterajui PTD, di kalangan guru seluruh negara kita ingin mengetahui prestasi mereka di setiap JPN. Adakah mereka compatible kalau dinilai daripada segi pengurusan pendidikan setiap negeri? Terdapat rungutan-rungutan mengatakan keadaannya amat di luar jangkaan di mana terdapat banyak masalah ketidakselarasan bagi semua peringkat pendidikan dan yang paling ramai merungut ialah di kalangan PPD/PPG/PPDK dan Pengetua/Guru Besar kerana terdapat "selera" baru di sebalik pengurusan pendidikan ala PTD daripada pengurusan pendidikan DG. Menurut beberapa Pengetua ketidaksesuaian PTD adalah disebabkan kejahialan mereka terhadap kehendak dan tuntutan pengurusan pendidikan (education management) lantas menyebabkan tiadanya 'ruh' pendidikan dalam tatacara pengurusan mereka. Pengurusan pendidikan lebih daripada sekadar mencapai pen dan mengemukakan arahan dan pekeliling.

Pengurusan pendidikan wajar kontekstual, reciprocal dan lebih penjiwaan terhadap tuntutan sebenar pendidikan sarwajagat. Ia bukan paper work, bukan mengintip kesilapan kesilapan dan menyatakan hukuman kepada guru (yang ini Pengarah Pendidikan Negeri perlu berganda peka). Penjiwaan pendidikan memberi interaksi peringkat pengurusan dengan guru-guru lebih profesional searas di samping guru-guru akan lebih merasa berhubungan dan bersambungan dalam pembangunan pendidikan tanahair.

______________________

Komentar Sabtu

Amalan reflektif guru satu paradigma baru pembangunan profesional

"...saya tidak menduga catatan di atas lambaran kerja menggunakan huruf besar berwarna merah hari itu telah melukakan hati Farah, murid Tahun Lima Teratai, berpencapaian sederhana. Amalan membuat catatan menggunakan dakwat merah sudah sebati dengan diri saya sejak lebih 20 tahun yang lalu. Reaksi Farah hari berikutnya sungguh berbeza dan agak tidak bermotivasi membuat latihan Matematik yang saya berikan. Perkataan "CUAI, LAIN KALI JANGAN MALAS" yang saya telah catat pada lambaran kerja Matematik hari itu benar-benar telah memberi kesan apabila Cikgu Hafilda memberi tahu saya bahawa catatan tersebut telah dikemukakan Farah kepadanya. Rupa-rupanya saya seorang sahaja yang masih menulis menggunakan huruf besar warna merah dalam setiap latihan yang saya periksa. Amalan tersebut selama ini tidak pernah dibantah. Tiada seorang murid pun telah menunjukkan reaksi berbeza. Setelah Cikgu Hafilda berbual-bual dengan saya tentang pendekatan terkini bagaimana menyemak dan membuat pembetulan kerja-kerja murid, barulah saya sedar bahawa saya telah amat "CUAI" dalam amalan profesional saya......"
[nama-nama dalam catatan di atas adalah rekaan semata-mata dan telah diubah daripada teks asal Catatan Refleksi]

Catatan di atas merupakan refleksi seoarang guru Matematik dalam sesi Protokol Peristiwa Kritikal (PPK) yang saya kendalikan dalam pembangunan staf anjuran sebuah sekolah. Amalan refleksi menurut Brookfield (2007) adalah pendekatan baru dalam peralihan paradigma perkembangan staf guru. Guru-guru kini lebih yakin akan keberanian mengakui kesilapan profesional mereka demi kemajuan pembelajaran para pelajar. Tanpa keberanian tersbut kerja mengajar tidak lagi 'hidup' dan mengundang risiko tinggi. Ibu bapa kini lebih peka akan 'hidangan' dan 'menu' guru dan sekolah kepada anak-anak mereka. Dan daripada segi logik pendidikan, itulah yang sepatutnya berlaku: ibu bapa mesti diberitahu pengajaran dan penyampaian pembelajaran kepada anak-anak di bilik darjah supaya ini dapat menjamin muafakat profesioan ibu bapa-guru.

Refleksi boleh berlaku secara bersendirian dan bersama rakan atau kumpulan. Untuk memastikan refleksi guru dilakukan dengan bermanfaat Brookfield mencadangan sesi Protokol Peristiwa Kritikal atau Critical Insidence Protocol. Sekumpulan guru akan membuat satu bulatan kecil (5-6 orang) untuk mengadakan satu sesi refleksi. Seorang pembimbing dilantik sama ada daripada kalangan kumpulan atau guru kanan di luar kumpulan. Setiap guru akan mencatat satu persitiwa kritikal (refleksi) yang pernah dialaminya; sama ada yang terbaik ataupun yang terburuk dalam pengalamannya. Masa ditetapkan oleh pembimbing supaya struktur protokol refleksi akan lebih ketara dan memberi manfaat kepada semua. Seorang gur akan diminta membentang refleksinya. Setelah pembentangan rakan-rakan yang lain akan diberi peluang bertanya memohon penjelasan agar "peristiwa' yang dibentangkan tadi difahami semua dalam kumpulan protokol tersebut. Ini diikuti oleh sesi soalan-soalan pembuktian atau penyiasatan (probing) dan pembentang mencatat semua soalan/pandangan rakannya untuk diberi respon secara satu persatu. Selepas sesi respon, diadakan sesi diskusi (sekitar 8-10 minit). Ini diikuti sesi pemurnian atau debriefing yakni siasatan dan penjelasan lanjut di kalangan rakan mengenai peristiwa refleksi oleh rakan mereka tadi.

Ini akan menerbitkan banyak perkongsian daripada segi tindakan: sebelum, semasa dan selepas pengajaran guru di bilik darjah. refleksi amat berkesan lantaran itu ia merupakan salah satu peringkat terpenting dalam proses penyelidikan tindakan. Aktiviti refleksi atau dalam konteks ilmu Islam, mahasabah diri, adalah aktiviti semula jadi insan. Melalui aktiviti refleksi manusia semakin mengerti diri dan faham dunia sosialnya, hatta memberi ia kedewasaan di dalam setiap lapangan kehidupan.

Guru amat dituntut menjadikan refleksi ini aktiviti profesional dan amalan profesional supaya mereka dapat memperbaiki pengajaran dan mempertingkat pembelajaran murid-muridnya.
_________________________________________________________________