Friday, April 4, 2008

Komentar Sabtu

Amalan reflektif guru satu paradigma baru pembangunan profesional

"...saya tidak menduga catatan di atas lambaran kerja menggunakan huruf besar berwarna merah hari itu telah melukakan hati Farah, murid Tahun Lima Teratai, berpencapaian sederhana. Amalan membuat catatan menggunakan dakwat merah sudah sebati dengan diri saya sejak lebih 20 tahun yang lalu. Reaksi Farah hari berikutnya sungguh berbeza dan agak tidak bermotivasi membuat latihan Matematik yang saya berikan. Perkataan "CUAI, LAIN KALI JANGAN MALAS" yang saya telah catat pada lambaran kerja Matematik hari itu benar-benar telah memberi kesan apabila Cikgu Hafilda memberi tahu saya bahawa catatan tersebut telah dikemukakan Farah kepadanya. Rupa-rupanya saya seorang sahaja yang masih menulis menggunakan huruf besar warna merah dalam setiap latihan yang saya periksa. Amalan tersebut selama ini tidak pernah dibantah. Tiada seorang murid pun telah menunjukkan reaksi berbeza. Setelah Cikgu Hafilda berbual-bual dengan saya tentang pendekatan terkini bagaimana menyemak dan membuat pembetulan kerja-kerja murid, barulah saya sedar bahawa saya telah amat "CUAI" dalam amalan profesional saya......"
[nama-nama dalam catatan di atas adalah rekaan semata-mata dan telah diubah daripada teks asal Catatan Refleksi]

Catatan di atas merupakan refleksi seoarang guru Matematik dalam sesi Protokol Peristiwa Kritikal (PPK) yang saya kendalikan dalam pembangunan staf anjuran sebuah sekolah. Amalan refleksi menurut Brookfield (2007) adalah pendekatan baru dalam peralihan paradigma perkembangan staf guru. Guru-guru kini lebih yakin akan keberanian mengakui kesilapan profesional mereka demi kemajuan pembelajaran para pelajar. Tanpa keberanian tersbut kerja mengajar tidak lagi 'hidup' dan mengundang risiko tinggi. Ibu bapa kini lebih peka akan 'hidangan' dan 'menu' guru dan sekolah kepada anak-anak mereka. Dan daripada segi logik pendidikan, itulah yang sepatutnya berlaku: ibu bapa mesti diberitahu pengajaran dan penyampaian pembelajaran kepada anak-anak di bilik darjah supaya ini dapat menjamin muafakat profesioan ibu bapa-guru.

Refleksi boleh berlaku secara bersendirian dan bersama rakan atau kumpulan. Untuk memastikan refleksi guru dilakukan dengan bermanfaat Brookfield mencadangan sesi Protokol Peristiwa Kritikal atau Critical Insidence Protocol. Sekumpulan guru akan membuat satu bulatan kecil (5-6 orang) untuk mengadakan satu sesi refleksi. Seorang pembimbing dilantik sama ada daripada kalangan kumpulan atau guru kanan di luar kumpulan. Setiap guru akan mencatat satu persitiwa kritikal (refleksi) yang pernah dialaminya; sama ada yang terbaik ataupun yang terburuk dalam pengalamannya. Masa ditetapkan oleh pembimbing supaya struktur protokol refleksi akan lebih ketara dan memberi manfaat kepada semua. Seorang gur akan diminta membentang refleksinya. Setelah pembentangan rakan-rakan yang lain akan diberi peluang bertanya memohon penjelasan agar "peristiwa' yang dibentangkan tadi difahami semua dalam kumpulan protokol tersebut. Ini diikuti oleh sesi soalan-soalan pembuktian atau penyiasatan (probing) dan pembentang mencatat semua soalan/pandangan rakannya untuk diberi respon secara satu persatu. Selepas sesi respon, diadakan sesi diskusi (sekitar 8-10 minit). Ini diikuti sesi pemurnian atau debriefing yakni siasatan dan penjelasan lanjut di kalangan rakan mengenai peristiwa refleksi oleh rakan mereka tadi.

Ini akan menerbitkan banyak perkongsian daripada segi tindakan: sebelum, semasa dan selepas pengajaran guru di bilik darjah. refleksi amat berkesan lantaran itu ia merupakan salah satu peringkat terpenting dalam proses penyelidikan tindakan. Aktiviti refleksi atau dalam konteks ilmu Islam, mahasabah diri, adalah aktiviti semula jadi insan. Melalui aktiviti refleksi manusia semakin mengerti diri dan faham dunia sosialnya, hatta memberi ia kedewasaan di dalam setiap lapangan kehidupan.

Guru amat dituntut menjadikan refleksi ini aktiviti profesional dan amalan profesional supaya mereka dapat memperbaiki pengajaran dan mempertingkat pembelajaran murid-muridnya.
_________________________________________________________________

No comments: